RUMAH MAMPU MILIK DI BANDAR MALAYSIA

image (1)

Pelaksanaan rumah mampu milik yang akan dibangunkan oleh pihak pemegang saham, Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dengan IWH-CREC Sdn. Bhd. akan diba­ngunkan dengan keutamaan segera.

Perdana Menteri berkata ketika berucap dalam maj­lis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) oleh Bandar Malaysia Sdn. Bhd. pada 17 Jun yang lalu, ia membuktikan komitmen dan manifestasi kerajaan untuk menyempurnakan keperluan setiap sektor penduduk terutama melibatkan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Peluang pekerjaan akan dicipta di Bandar Malaysia sebagai pelaburan global dan domestik. Selepas ia siap sepenuhnya, projek ini akan menjadi destinasi utama kepada 200,000 pekerja berpendapatan tinggi yang akan tinggal, bekerja dan bersosial. Bandar Malaysia akan menjadi penanda aras kepada hab baru kehidupan yang akan membawa manfaat kepada Kuala Lumpur dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya

Kerajaan bersetuju memberikan lima insentif kepada pemaju induk dan anak syarikat milik penuhnya dalam membangunkan projek bandar itu. Insentif tersebut melibatkan pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun, pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah untuk tempoh lapan tahun.

Dua lagi insentif adalah pengecualian cukai pegangan selama lapan tahun dan pengecualian duti import untuk barangan pembinaan terpilih yang tidak diperbuat di Malaysia.

Kerajaan bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian insentif cukai kepada syarikat-syarikat terkemuka global dan institusi-institusi kewangan. Selain itu, kerajaan akan turut memberikan elaun industri pembinaan, elaun modal dipercepatkan, pengurangan bayaran sewa, pengecualian duti setem bagi perjanjian perkhidmatan dan insentif pakej permulaan untuk pelabur dan penggiat industri pelancongan.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani tiga MoU bagi membangunkan projek Bandar Malaysia yang terletak di Sungai Besi itu termasuk MoU untuk menempatkan hab pengangkutan keretapi laju (HSR) di lokasi tersebut membabitkan kerjasama MRCB Berhad.

Hartanah Bandar Malaysia seluas 194 hektar itu ketika ini adalah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi, Kuala Lumpur. Kerajaan Malaysia kekal sebagai pemain utama dalam pembinaan projek itu iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor akan memiliki bersama 54 peratus hak milik ekuiti manakala 22 peratus oleh IWH Holdings dan 24 peratus CREC Holding.

Artikel ini telah diolah dari berita yang dikeluarkan oleh Utusan Online pada 17 Jun 2016

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *