Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kemajuan pembangunan PPA1M di Putrajaya ketika ini telah mencapai tahap 30 hingga 50 peratus dan situasi itu menunjukkan proses pembinaan berjalan lancar.

Beliau berkata, sebanyak 7,872 pembeli PPA1M fasa satu juga telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) bermula hari ini, sekali gus memberi khabar gembira kepada mereka untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya amat teruja dengan kemajuan pembangunan PPA1M fasa satu di Putrajaya, pada awalnya Perbadanan Putrajaya (PPj) yang diamanahkan untuk membangunkan sebanyak 10,000 unit PPA1M sahaja.

“Bagaimanapun, dengan inisiatif dan galakan kerajaan, PPj kini bakal membangunkan sebanyak 17,500 unit PPA1M bagi fasa satu, dua dan tiga,” katanya ketika berucap dalam majlis menandatangani S&P PPA1M fasa satu di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mentek dan Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail.

Menurut Ali, proses menandatangani S&P dijangka selesai sepenuhnya secara berperingkat sehingga akhir bulan ini bagi PPA1M fasa satu yang melibatkan PPA1M Palma, Seruling, Selasih, Larai, Jintan, Melinjau, Pudina, Ketumbar dan Kasturi.

“Sebanyak 7,872 penjawat awam yang berjaya dalam siri cabutan undi lalu hadir menandatangani S&P hari ini yang mana mereka bakal menduduki rumah yang dibeli dengan harga kawalan kerajaan sekitar RM150,000 hingga RM300,000,” katanya

Sementara itu katanya, kerajaan komited untuk membina sebanyak 116,000 unit kediaman PPA1M di seluruh negara berikutan permintaan tinggi oleh penjawat awam yang mahu memiliki rumah pertama, melepasi sasaran 100,000 unit se­perti yang ditetapkan sebelum ini.

“Menerusi Mesyuarat Majlis Perumahan Negara baru-baru ini, kami dapati jumlah permohonan untuk memiliki PPA1M hampir 116,000, jumlah itu lebih daripada sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini.

“Pertambahan itu jelas menunjukkan kerajaan komited membantu penjawat awam memiliki rumah impian mereka. Permintaan terhadap unit kediaman PPA1M juga tinggi apabila sebanyak 41,880 permohonan diterima bagi 19,225 unit rumah yang ditawarkan ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hasim berkata, lanjutan daripada proses menandatangani S&P hari ini, kesemua pembeli diberikan masa selama tiga bulan untuk mengurus atau mendapatkan pinjaman perumahan mengikut kelayakan masing-masing.